Duhai Hati Janganlah Terkorban dengan Dunia






Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti.
Namun adakah kita sedar bahawa ia adalah ujian dari Allah?
Kepayahan itu sesungguhnya adalah satu bentuk tarbiyah-Nya kepada hati.
Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya?
Terlebih banyak mengadu dari bertahmid rasanya.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut ayat 2-3)
"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf ayat 87)
Tak tersedarkah hati bahawa segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu adalah nikmat.
Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah ayat 216)
Nah, Allah sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuhi?
Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah lah, wahai hati.
Tidak sedarkah kita bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Allah beri dan pinjamkan lepada kita?
Selama ini, adakah setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikan? Adakah setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sahaja?
Adakah kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadah?
Allah berhak mutlak ke atas hati kita. Kenapa hati kita masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan kepada kita? Layakkah hati-hati ini mendapat syurga milik Allah SWT?
"Hai kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi rezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)
Duhai hati, janganlah terkorban dengan dunia... sesungguhnya hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

4 Syarat Hidupkan Hati dengan Al-Quran

Hati yang hidup menggerakkan potensi yang ada pada diri seseorang.
Sebaliknya, hati yang mati membunuh segala bakat dan potensi diri.
Sesuatu umat hanya boleh dibangunkan dengan menggerakkan potensi dirinya serta mengarahkannya kepada pembangunan.
Dengan pengutusan Rasulullah SAW, segala bakat dan potensi sahabat yang selama ini terpendam digerakkan dengan penghayatan al-Quran.
Hati yang hidup adalah hati yang subur dan bersedia untuk mendengar, melihat dan menerima kebenaran.
Hati yang hidup begini mempunyai nur, tenaga dan kekuatan.
Ia sentiasa tunduk dan patuh kepada Allah dengan penuh khusyuk, takwa serta kasih dan simpati kepada sesama makhluk.
Hati yang dihidupkan dengan al-Quran bersedia mematuhi segala perintah syarak.
Dengan mematuhi segala perintah syarak barulah kehidupan manusia akan sempurna. Bukankah Allah berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." - Surah al-Isra’, ayat 9
Perkara ini disebutkan juga dalam firman-Nya bermaksud:
"Taha (maknanya hanya diketahui Allah). Kami tidak menurunkan al-Quran kepadamu supaya kamu menjadi susah, tetapi sebagai peringatan bagi orang yang takut kepada Allah; iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi?" - Surah Taha, ayat 1-4
Maka untuk menghidupkan hati dengan al-Quran, kita memerlukan beberapa syarat:
Pertama, al-Quran hendaklah dibaca dengan tenang dan khusyuk, dalam keadaan bersunyi diri (berkhalwah), terutama pada waktu tengah malam atau fajar (Subuh).
Allah berfirman bermaksud:
"Sesungguhnya membaca al-Quran pada waktu fajar (Subuh) itu disaksikan malaikat." - Surah al-Isra’, ayat 78
Kedua, membaca al-Quran dengan pengamatan maknanya seperti yang dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:
"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) al-Quran itu?" - Surah Muhammad, ayat 24
Pembacaan yang disertai dengan renungan dan pengamatan sedemikian akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam al-Quran.
Dengan perkataan lain, roh dari alam tinggi (alam Ketuhanan) yang dibawa oleh al-Quran itu akan turun dan meresapi ke dalam hati pembaca al-Quran kemudian ia menghidupkannya.
Dengan itu hati dapat mengenal kebenaran dengan mudah dan mencintainya. Nilai kebenaran dan kebaikan akan tumbuh subur dalam jiwanya. Lantas ia menyukai kedua-keduanya, tetapi membenci dan menentang kebatilan dan kejahatan.
Ketiga, sentiasa bersikap bersedia untuk menerima kebenaran al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.
Manusia sering dikuasai oleh hawa nafsunya. Segala keinginan dunia (hingga membawa kepada kegilaan) adalah dinding (hijab) tebal yang menutup hati seseorang itu sehingga menyebabkan enggan menerima hidayah Allah melalui al-Quran.
Keempat, merealisasikan kehambaan ('ubudiyyah) diri sewaktu membaca al-Quran.
Perasaan ini akan dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran al-Quran yang dibaca itu dalam kehidupan. Ini semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.
Dalam perkataan lain, pembacaan yang sedemikian akan menimbulkan keazaman untuk bermujahadah iaitu melawan kemahuan diri yang bertentangan dengan tuntutan ‘ubudiyyah kepada Allah.
Melaksanakan segala perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran adalah tafsiran makna ayat yang dibacanya itu di dalam kehidupan.
Untuk memastikan ia terus hidup dan segar, maka hati perlu sentiasa menjalani proses mujahadah (melawan segala kemahuan diri yang bertentangan dengan ajaran Islam).
Hati yang tidak bermujahadah, ertinya hati itu beku dan kotor. Hati yang kotor dan beku menyebabkan seseorang itu tidak ingin melakukan kebaikan, malah ia sentiasa melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW bermaksud: "Huzaifah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Fitnah akan melekat di hati manusia bagaikan tikar yang dianyam secara tegak-menegak antara satu sama lain. Mana-mana hati yang dihinggapi oleh fitnah, nescaya akan terlekat padanya bintik-bintik hitam.
"Begitu juga dengan hati yang tidak dihinggapinya, akan terlekat padanya bintik-bintik putih sehinggalah hati itu terbahagi kepada dua.
"Sebahagiannya menjadi putih bagaikan batu licin yang tidak lagi terkena bahaya fitnah, selama langit dan bumi masih ada, manakala sebahagian yang lain menjadi hitam keabu-abuan seperti bekas tembaga yang berkarat, tidak menyuruh kebaikan dan tidak pula melarang kemungkaran, segala-galanya adalah mengikut keinginan." (Riwayat al-Bukhari di dalam Kitab Iman, Hadis No. 207)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

Anggunkan Hearty

Dalam kita selalu memperelokkan wajah kita yang sudah cantik dan personaliti kita, pernahkah kita terfikir bagaimana keadaan hati kita?
Hati yang sebenarnya menjadi asas pencernaan personaliti kita. Seperti mafhum hadis Rasululullah saw, di dalam tubuh kita ada seketul daging, sekiranya baiklah daging itu, maka baiklah jasadnya. Dan sekiranya buruk daging itu, maka buruklah jasad itu. Itulah Qalbu (hati). (Au kama qal)
Ya hati. Hati di dalam bahasa arab mempunyai dua perkataan iaitu Fuad dan Qalbu.
Fuad menerangkan makna fizikal hati itu sendiri. Dan Qalbu pula bermaksud berubah-ubah.
Begitulah sifat Qalbu, berubah-ubah. Kadang-kadang kita rasa sayang, kasih dan kadang-kadang kita rasa benci dan dendam.
Semua ini berkaitan dengan iman. Sesungguhnya iman itu boleh bertambah dan berkurang. Sekiranya hati kita bersih, maka baiklah perilaku kita tanpa dipaksa-paksa dan sekiranya kotor hati kita, maka buruklah perangai kita. Dan ianya mampu berubah dalam sekelip mata. Paginya baik, petangnya buruk.
Kalau kita selalu mencuci wajah kita atau badan dengan pelbagai pencuci muka dan losyen mandian, bagaimana dengan hati kita? Bagaimana mahu mencuci? Bila perlu dicuci?
3 Jenis Hati
Sebelum itu mari kita kenal 3 jenis hati. Sediakan 3 gelas, satunya berisi air kosong. Satunya air teh dan yang satu lagi dengan air kopi pekat.
Untuk air kosong, diumpamakan hati yang bersih. Masukkan gula yang diibaratkan sebagai dosa kecil. Adakah nampak gula itu jatuh? Ok, masukkan pula sudu ke dalamnya yang diibaratkan sebahgai dosa besar. Nampak jelas? Ya, kedua-duanya nampak jelas bukan?
Begitulah diibaratkan hati kita yang bersih sekiranya pernah melakukan perbuatan salah, hati kita akan merasa gelisah dan terasa yang dia sudah melakukan dosa. Jelas terasa di hatinya yang dia merasa bersalah. Itulah gambaran hati yang bersih. Mudah sensitif dengan gerak geri laku perbuatannya.
Untuk jenis hati yang kedua, air teh itu diibaratkan sebagai hati yang sakit. Jika dimasukkan gula atau sudu, masih lagi nampak kelibat kedua objek itu namun ianya samar dan kelabu. Begitulah hati kita jika ianya sakit, tidak akan merasakan sensitif terhadap dosa dan kesalahan yang dilakukan. Kita masih sedar kita berbuat kesalahan tetapi menangguhkan taubat atau istighfar.
Dan untuk yang ketiga ialah hati yang mati, wal'iyazu billahi min zalik. Hati yang mati diumpamakan sebagai air kopi yang hitam pekat dan segala objek yang masuk, kita sudah tidak nampak. Apa yang kelihatan ialah hitam sahaja. Itulah hati mati yang sudah berasa halal haram adalah sama dan tiada beza baginya.
Namun, jauh di sudut hati kita, ada sedetik rasa yang kita mahukan kebaikan dalam hidup. Untuk proses pencucian hati ini, sama-samalah kita mulakan dengan istighfar dan mengakui segala kesalahan kita kepada Allah.
Bertaubatlah, kerana sedetik kita mahu kembali ke pangkuan Allah, Allah akan sambut kita dengan kasih sayang-Nya, yakinlah dengan cinta Allah.
Banyakkan berzikir, membaca mathurat, bangun malam, membaca Al-Quran dan berazam untuk berubah. Didik hati kita supaya sentiasa beristighfar dan merendah hati. Diakui hati kadang-kadang sukar dikawal kemahuannya, tetapi selalu berdoa pada Allah agar kita ditetapkan iman. Amin.
Semoga hati kita dapat dibersihkan dan dicuci selalu sehingga mendapat hati yanhg bersih dan jagalah ia selalu.
Anggunnya peribadi kita bermula dengan anggunnya hati kita.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments
get this widget here
MUTIARA HATI